19 April 2010



“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama Islam, sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Sesiapa yang mengingkari thaghut (syaitan dan apa saja yang disembah selain daripada Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan tali (Iman) yang amat kuat dan tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. (Al-Baqarah: 256)
Perkataan pertama yang diucap sebagai penganut Islam, juga perkataan terakhir sebelum nyawa dipisahkan dari jasad.
Menjadi perkara pertama dalam rukun islam, permulaan kita sebagai muslimin/muslimah.
Syahadah bererti 'kesaksian' atau 'pengakuan'. Dalam syahadah terbahagi kepada dua bahagian:
a) Syahadah Allah - 'bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah'
yakni menafikan semua ketuhanan lain melainkan Allah swt dan mengisbatkan ketuhanan bagi Allah yang Esa dan tidak ada sekutu baginya. Syahadah ini juga mengkufurkan taghut, yakni semua benda yang disembah melainkan Allah (sama ada objek, ataupun makhluk lain spt manusia, jin, syaitan dll)

“Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Dia yang sangat semberi rahmat dan belas kasihan”. (Al-Baqarah: 163).
"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa." (Al-Ikhlas: 1)
"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya." (Al-Ikhlas: 4)
b) syahadah Muhammad s.a.w - bersaksi bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah
-mengakui Muhammad saw adalah manusia biasa yang dilantik sebagai utusan Allah dan membenarkan Rasulullah terhadap semua perkara yang disampaikan.
“Dan Kami tidak mengutuskan kamu (Muhammad), melainkan kepada manusia seluruhnya sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan”. (Saba’: 28)
“Katakanlah: Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kamu semua”. (Al-A’raf: 158).
Dalam pengisytiharan kita sebagai seorang Islam, hendaklah menyebut dua kalimah syahadah:

لا إله إلا الله محمد رسول الله
“Laailaaha illallahu Muhammadur rasulullah.
erti: aku bersaksi bahawa tiada tuhan yagn disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa nabi Muhammad itu pesuruh Allah.
Hendaklah tertib dan jelas lafaz syahadah seperti yang dinyatakan, yakni melafazkan kedua-dua syahadah tanpa diselangi perkataan/percakapan lain. Melafaz syahadah bukan hanya pada lidah (mampu menyebut dan membacakan), hendaklah kita memahami maksud dan meyakini kalimah tersebut. Pengakuan kita hendaklah tegas dan tidak ada sedikit pun syak (70% percaya - 30% mendustakan), zan (50% percaya -50% mendustakan), atau waham (30% percaya - 70% mendustakan). Dengan pengakuan ini juga kita wajib menurut segala perintah Allah swt dan menjadikan Rasulullah saw sebagai teladan menjalani kehidupan di dunia.
Akidah sebagai seorang muslim (setelah mengucap kalimah) hendaklah dijaga setiap masa kerana banyak perkara yang boleh membatalkan syahadah. Antara yang utama:
1. Menyekutukan Allah.
2. Bertawakal kepada makhluk (gantung nasib pada makhluk)
3. Mengkafirkan orang Islam yang telah nyata Islamnya. Dan tidak mengkufurkan orang kafir yang telah nyata kufurnya.
4. Yakin dan percaya ideologi yang dibawa oleh manusia lebih baik daripada sistem Islam.
5. Mencaci Nabi dan Sunnahnya.
6. Hukum Allah menjadi sendaan dan gurauan.
7. Menenung nasib dan bermain sihir.
8. Membantu orang kafir untuk merosakkan Islam
9. Beranggapan bahawa keluar daripada Islam tidak apa-apa
10. Menolak sebahagian daripada Al-Quran dan menerima sebahagian Al-Quran.

Kita juga harus berwaspada supaya tidak melakukan dosa-dosa kecil. Tanpa disedari (dikhuatiri) akan membatalkan syahadah.
“Wahai orang-orang beriman bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan sebagai seorang muslim”. (Ali-Imran: 102)
Sabda Nabi Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Muslim:
“Sesiapa yang mengucap: Bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya - nescaya Allah haramkan api neraka daripada menyentuhnya”.






0 Comments:

Post a Comment